20 Oktober 2013

Rumah Pasang Siap Teknologi Jepun


SALAH sebuah bangunan pasang siap berteknologi tinggi yang dibina di Jepun.

Kebanyakan kita mungkin pernah melihat kilang pemasangan kereta yang sebahagian besar kerja dilakukan oleh robot sebagaimana yang terdapat di kilang pemasangan kereta nasional, Proton.

Bagaimanapun ramai yang tidak sedar industri perumahan di kebanyakan negara, khususnya negara maju telah memasuki fasa tersebut, di mana penggunaan teknologi tinggi dapat menjimatkan masa, kos serta penggunaan tenaga kerja.

Bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan di dalam industri yang berkembang pesat ini, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kini sedang berusaha membawa teknologi dari luar negara termasuk dari Jepun, China, Australia, United Kingdom serta Amerika Syarikat dan disesuaikan dengan keperluan teknologi tempatan.


Rumah yang ingin dibina oleh PR1MA itu adalah berkonsep pasang siap yang mampu dibina dalam tempoh 30 hingga 60 hari tetapi yang lebih penting ia sangat kukuh sehingga mampu menahan gempa bumi.

Rumah tidak lagi dibina di tapak pembinaan, tetapi dibina di dalam kilang dan apabila 90 peratus siap, ia dipindahkan ke tapak untuk menyiapkan 10 peratus lagi kerja pembinaan.

Rumah itu merangkumi jenis banglo sehingga apartmen dan jika mengikut spesifikasi asalnya yang dibina di Jepun, rumah itu mampu menahan gempa sehingga sembilan skala richter dengan anggaran harga antara RM150,000 dan RM300,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, untuk mewujudkan kesedaran masyarakat tentang teknologi terkini itu, syarikat yang dipertanggungjawab membina rumah mampu milik negara itu merancang untuk membina sebuah rumah contoh di Putrajaya supaya orang ramai dapat melihat sendiri bagaimana rumah itu dibina dan terjamin dari segi keselamatan serta kualiti.

"Kesedaran ini penting kerana teknologi pasang siap yang digunakan untuk membina rumah sebelum ini sedikit bermasalah dan ia telah menjadi stigma," katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Oleh kerana PR1MA tidak mempunyai tanah di Putrajaya, syarikat berkenaan akan menyewa sekeping tanah untuk menempatkan rumah berkenaan dan dipindah ke tempat lain jika perlu.

Antara syarikat pembinaan rumah terkenal di dunia ialah sebuah syarikat dari Jepun iaitu Sekisui yang mengikut maklumat dari laman webnya telah ditubuhkan pada tahun 1960 dan telah membina dua juta buah rumah.

Syarikat berkenaan juga telah memperluaskan operasinya ke seluruh dunia dan mempunyai 21,000 orang pekerja, termasuk kilang yang terdapat di Bangkok.

Satu lagi syarikat yang mendapat pengiktirafan dunia ialah Kumpulan Broad dari China yang sedang mencipta rekod dunia membina bangunan tertinggi di dunia yang dikenali sebagai Sky City One setinggi 220 tingkat dalam masa tiga bulan.

Syarikat berkenaan sebelum ini telah mengejutkan dunia apabila membina bangunan 30 tingkat dalam masa 15 hari.

Dalam pada itu kata Abdul Mutalib, bagi memastikan pembinaan rumah mampu milik dapat berjalan dengan segera sementara menunggu pembinaan kilang tersebut, PR1MA telah menukar status 30 projek perumahan pemaju swasta iaitu merangkumi 38,757 kepada projek perumahan PR1MA.

PR1MA, katanya, meletakkan sasaran 80,000 buah rumah dibina menjelang akhir tahun ini dengan menggunakan kaedah tersebut.

Oleh BORHAN ABU SAMAH
Sumber: Utusan [16/10/2013]

MoU Teknologi Rumah Pasang Siap


Penerangan oleh Ketua Promosi Perniagaan Antarabangsa Sekisui, Masaya Fujiwara (kanan) ketika melawat pameran selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PR1MA dan Sekisui di Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan syarikat pembinaan rumah terbesar di Jepun, Sekisui Chemical Co. Ltd (Sekisui) bagi penggunaan teknologi pasang siap untuk projek rumah rakyat.

Perjanjian itu turut membabitkan kerjasama membina kilang bagi membangunkan secara modular komponen bahan-bahan asas membina 500,000 unit rumah PR1MA dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, pihaknya menyasarkan untuk menggunakan teknologi tersebut dalam tempoh 14 bulan dari sekarang.

"Kita merancang membina projek perintis rumah pasang siap menggunakan sepenuhnya teknologi yang diimport dari Jepun itu bagi memberi keyakinan kepada rakyat.

"Bagaimanapun, untuk projek PR1MA secara keseluruhannya, kita perlu menunggu sehingga kilang ini siap dibina terlebih dahulu kerana segala proses pembinaan teknologi pasang siap itu akan dibina dalam kilang berkenaan,'' katanya.

Jamaludin berkata, menerusi penggunaan teknologi pasang siap itu, setiap projek perumahan PR1MA mampu disiapkan dalam tempoh dua bulan sahaja berbanding dua tahun menerusi kaedah konvensional.

Jelasnya, dengan penggunaan teknologi itu, hanya 10 peratus kerja dilakukan di tapak pembinaan manakala 90 peratus lagi bahan-bahan binaan disiapkan di kilang sebelum dipindahkan ke tapak pembinaan.

Katanya, penggunaan kaedah itu juga mampu merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk melihat sebanyak 500,000 projek perumahan PR1MA mampu disiapkan dalam tempoh lima tahun.

Sementara menunggu kilang tersebut beroperasi sepenuhnya, kata beliau, setiap projek PR1MA yang sedang dalam proses pembinaan tetap diteruskan seperti biasa dengan menggunakan kaedah konvensional.

Ditanya mengenai kualiti rumah yang dibina menerusi teknologi itu, beliau berkata, proses pembinaan bahan pasang siap itu dikendalikan menggunakan teknologi moden sepenuhnya.

"Proses pembinaan bahan-bahan membuat rumah itu akan dikendalikan oleh robot dan komputer selain diselia oleh tenaga kerja mahir terlatih yang dihantar berkursus di Jepun.

"Hasrat kita membina kilang ini bertujuan membuang imej negatif orang ramai terhadap projek-projek terdahulu yang didakwa tidak berkualiti," katanya.

Mengulas mengenai kos rumah yang dijangka meningkat kesan penggunaan teknologi tersebut, beliau berkata, kerajaan akan memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan lingkungan RM3,000 hingga RM6,000 mampu memiliki rumah tersebut.

"Kita menggunakan konsep pengeluaran kereta seperti di Jepun yang mampu dijual dengan harga murah berikutan pengeluaran dan permintaan dalam jumlah yang besar," katanya.

Jamaluddin berkata, pembinaan rumah pasang siap itu adalah cetusan idea Perdana Menteri dalam usaha menunaikan manifesto BN bagi membina 500,00 rumah mampu milik di bawah PR1MA.

Beliau berkata, rumah yang dibangunkan Sekisui boleh disiapkan dalam tempoh 60 hari dengan 90 peratus pembinaannya dibuat di kilang dan projek pertama dijadual bermula awal tahun 2014 depan membabitkan pembinaan rumah contoh dengan semua komponennya diimport secara berperingkat.

Sumber: BharianUtusan [17/10/2013]

0 comments: