13 Januari 2013

Empat Bank Biaya Rumah Mesra Rakyat



Bermula tahun 2013 ini semua pemohon yang berkelayakan untuk memiliki Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) akan ditentukan melalui empat panel bank yang dipilih Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu CIMB, Bank Islam, Maybank dan Bank Rakyat. Proses permohonan skim tersebut berbeza apabila syarat permohonan pinjaman ditentukan oleh SPNB dan institusi kewangan yang dipohon.

Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron berkata, proses baharu itu menetapkan hanya individu yang memiliki sejarah pengurusan kewangan bersih layak memohon program tersebut selain tertakluk kepada polisi Bank Negara Malaysia (BNM).


"Tahun ini sedikit berbeza apabila kita menggunakan institusi kewangan dan bank perdagangan untuk membiayai projek RMR1M.

"Namun, kita masih berpegang kepada syarat lama seperti pemohon perlu memiliki tanah, mempunyai tanggungan dan pendapatan tidak lebih RM3,000 sebulan," katanya.

"Pemohon juga hendaklah mempunyai sejarah kewangan peribadi yang bersih. Maknanya tiada rekod dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat dan agensi rujukan kredit, Credit Tip of Service Sdn. Bhd.," katanya.

Pemohon yang disenarai hitam oleh CTOS atau Credit Tip-Off Service Sdn. Bhd. dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tidak layak menerima pinjaman.

"Bank boleh beri kelulusan kepada pemohon yang tiada masalah CTOS atau CCRIS kerana bank pemberi pinjaman melanggar dasar Bank Negara jika memberi pinjaman kepada mereka yang tersenarai di dalam sistem itu," katanya.

SPNB masih menggunakan kaedah IBS dengan mengekalkan keluasan 1,000 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air.

Katanya, rumah RMR1M dibina SPNB berharga RM65,000, tetapi pembeli hanya perlu membayar RM45,000 kerana RM20,000 adalah subsidi kerajaan.

“Proses mendapatkan pembiayaan agak cerewet, tapi tidak sukar selagi pemohon mempunyai rekod pengurusan kewangan peribadi yang bersih. Pemohon hanya perlu pinjam RM45,000 dengan dua peratus faedah ditanggung kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, pembiayaan RMR1M ditanggung sepenuhnya SPNB, tetapi difahamkan mesyuarat SPNB beberapa hari lalu membuat keputusan menyerahkan pembiayaan kepada institusi kewangan bagi menangani banyak kes hutang tidak berbayar (NPL) yang tinggi oleh pembeli rumah RMR1M terdahulu.

Sumber: Kosmo, BHarian, Utusan


RUMAH Mesra Rakyat oleh SPNB ditawarkan kepada mereka yang mempunyai tanah dan berpendapatan rendah.

PROGRAM RUMAH MAMPU MILIK

Rumah-rumah yang di bina oleh SPNB adalah rumah kediaman tiga bilik tidur dan dilengkapi kemudahan dua bilik air berkonsep mesra keluarga dan selesa dan dijual pada kadar harga serendah RM35,000 mengikut negeri.

Definisi untuk rumah Kos Rendah, Sederhana Rendah dan Sederhana mengikut tafsiran SPNB adalah seperti jadual dibawah:
______________________________________________________________________________
Jenis-jenis Rumah             Keluasan Lantai*       Harga                                 Harga
                                                                             (Semenanjung)**                  (Sabah & S'wak)**

1. Kos rendah                    700 kps                       Dari RM 35,000              Dari RM 50,000
2. Kos sederhana rendah  750 kps                       Dari RM 50,000              Dari RM 70,000
3. Kos sederhana              800 kps dan ke atas   Dari RM 80,000              Dari RM 100,000
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Tertakluk kepada pindaan
** Tertakluk kepada terma dan syarat

Rumah-rumah di bawah Skim RMM adalah terbuka kepada semua kecuali bagi Rumah Kos Rendah dan bagi mana-mana pembelian rumah yang tertakluk kepada syarat-syarat Kerajaan Negeri.

Untuk memiliki / membeli Rumah Mampu Milik – Kos Rendah, pembeli haruslah berdaftar dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan Kos Rendah) atau datang terus ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau Pejabat Daerah yang berdekatan.

Untuk memiliki / membeli Rumah Mampu Milik - Kos Sederhana Rendah, terdapat beberapa buah negeri yang menentukan syarat-syarat tertentu untuk memilikinya.

Manakala, lain-lain jenis rumah, rumah kedai atau kedai boleh dibeli terus melalui SPNB.

Syarat untuk mendaftar sebagai pembeli Rumah Mampu Milik - Kos Rendah yang dimajukan oleh SPNB adalah tertakluk kepada SUK negeri masing-masing. Sila rujuk ke SUK negeri di mana projek itu dimajukan.

SPNB menggunapakai kelayakan yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri dan menggariskan tiga (3) syarat penting yang harus dipenuhi oleh para pembeli Rumah Kos Rendah iaitu:

Warganegara Malaysia.
Umur 21 hingga 50 tahun.
Tidak memiliki rumah atau tidak memiliki sebarang tanah yang boleh didirikan rumah di mana-
mana tempat di Malaysia.
Pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM2000.

Sumber: SPNB

3 comments:

Bunda_nora berkata...

bagus ni..untuk rakyat yang kurang mampu..

Karen Monica berkata...

elok juga ada program seperti ni :)

MyFreeMinded berkata...

Berharap juga ianya telus untuk rakyat yang benar2 tidak mampu. Situasi sekarang rumah kos rendah pun banyak yang dapat adalah mereka2 yang dah ada banyak rumah dan lebih dari mampu.